Nas Ahmad (kiri) ketika bersama krew Terjah dan Azwan Ali dalam salah satu episod Terjah.
SEJAK disiarkan pada awal Januari ini, program Terjah menerima banyak maklumbalas negatif sehingga ada yang menyarankan program itu dihentikan segera.
Di mana silapnya dan kenapa? Persoalan itu berlegar-legar di fikiran penerbitnya, Nas Ahmad. Namun, bekas wartawan Melodi itu tidak mampu memberikan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ apabila ditanya sama ada program itu akan berhenti siaran.
Nas sebaliknya menyarankan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), pihak yang meminta Terjah
dihentikan itu untuk tampil berbincang dengannya bagi menegakkan keadilan.
“Menyentuh tentang aduan yang diterima oleh Seniman, sebagai persatuan yang profesional, saya harap mereka dapat memanggil kita untuk membincangkan perkara ini.
“Namun, saya juga ada terbaca respons sebanyak 50 peratus penonton yang menyokong manakala sebahagiannya tidak. Saya menganggap mereka tidak memahami program yang berbentuk realiti.
“Lagipun, visi kami adalah menyampaikan maksud sebalik perkara yang disiarkan iaitu dipanggil reverse psychology. Dalam masa yang sama, Terjah sebenarnya cuba menegur artis secara psikologi,” jelas Nas kepada mStar Online.
